Assalamulaikum ..
Perkongsian Daripada :
IMAM MUDA ASYRAF..
(bukan AMER ASYRAF)
Apabila tibanya Zulhijjah akan tergambar dalam pemikiran
umat Islam ibadah cukup besar dalam syariat iaitu ibadah haji, rukun Islam
terakhir wajib dilaksanakan bagi setiap Muslim yang berkemampuan.
Pada bulan ini juga hati umat Islam semakin terpanggil untuk
menunaikan ibadah haji di Baitullah dengan penuh rasa perhambaan kepada-Nya.
Sesungguhnya Zulhijjah adalah bulan mulia kerana ia bulan ibadah bagi mereka
yang menunaikan haji mahupun tidak.
Jika pada Ramadan, Allah SWT menyediakan sepuluh malam
terakhir untuk hamba memperbanyak ibadah qiyam, maka pada sepuluh awal
Zulhijjah adalah sepuluh hari (siang) terbaik untuk setiap Muslim
memperhambakan diri kepada-Nya.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Demi waktu fajar dan
demi sepuluh malam.” Al-Hafiz Ibnu Kathir dalam Tafsir al-Quran al-‘Azim
berpendapat ‘sepuluh malam’ disebutkan Allah SWT bermaksud sepuluh hari awal
Zulhijjah. Ini juga pandangan sahabat dan tabiin antaranya Ibnu Abbas, Ibnu
al-Zubair dan Mujahid.
Lafaz pujian 10 hari awal Zulhijjah
Sepuluh hari awal Zulhijjah juga hari-hari mulia untuk
melafazkan puji-pujian kepada Allah SWT. Firman-Nya yang bermaksud: “Dan
serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadah haji, nescaya mereka akan
datang ke (rumah Tuhan) Mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang
berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk
rantau) yang jauh. Supaya mereka menyaksikan pelbagai perkara yang mendatangkan
faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari
yang tertentu.” (Surah al-Haj, ayat 27-28)
Ibn ‘Abbas menyatakan, hari tertentu dimaksudkan dalam ayat
ini ialah sepuluh awal Zulhijjah. Pada hari itu syiar Islam terserlah dengan
pengucapan lafaz pujian kepada Allah SWT terutama lafaz tahmid dan takbir.
Pada sepuluh awal Zulhijjah ini umat Islam
digalakkan memperbanyakkan kalimah takbir (Allahu Akbar), tahlil (La ilaha
illallah) dan tahmid (Alhamdulillah). Perkara ini dijelaskan Rasulullah SAW
dalam sabda: “Tiada hari yang lebih besar di sisi Allah SWT dan tiada amalan
yang lebih disukai-Nya kecuali pada sepuluh hari ini (awal Zulhijjah). Maka
perbanyakkanlah padanya takbir, tahlil dan tahmid.” (Riwayat Imam Ahmad)
Maka perbanyakkanlah lafaz pujian kepada Allah SWT dengan
mengucapkan ketiga-tiga zikir ini. Sahabat dan salaf al-soleh akan
memperbanyakkan zikir pada sepuluh hari ini dengan takbir sehingga ia
kedengaran jelas di pasar dan premis perniagaan.
Diriwayatkan, Nabi SAW menerangkan secara jelas kelebihan sepuluh
hari awal Zulhijjah. Daripada Ibnu ‘Abbas, Rasulullah SAW bersabda: “Tiada
amalan pada siang hari yang lebih mulia berbanding hari-hari ini (iaitu sepuluh
awal Zulhijjah). Sahabat bertanya: “Walaupun berjihad di jalan Allah? Jawab
Baginda SAW: “Walaupun berjihad di jalan Allah kecuali lelaki yang keluar
(berjihad) dengan nyawa dan hartanya dan tidak pulang dengan sesuatu pun
(daripada kedua-duanya).” (Riwayat Abu Daud)
Detik manis ditunggu jemaah haji
Bagi mereka yang menunaikan ibadah haji, hari-hari terakhir
pada sepuluh awal Zulhijjah adalah detik manis dan amat ditunggu-tunggu. Pada 8
Zulhijjah yang juga dikenali sebagai hari Tarwiyah, jemaah haji akan memulakan
perjalanan sama ada ke Mina mahupun Arafah dalam memenuhi tuntutan manasik
haji.
Mereka akan mula berangkat daripada tempat penginapan di
Makkah al-Mukaramah dengan berpakaian ihram serba putih untuk menyahut seruan
Ilahi dengan laungan talbiah memenuhi langit Makkah.
Hari Arafah pada 9 Zulhijjah dipenuhi amal ibadahkepada
Allah SWT, tidak kira bagi mereka yang menunaikan haji atau tidak. Hari Arafah
antara hari kebesaran bagi umat Islam.
Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya Hari Arafah, Hari al-Nahr
(Aidiladha) dan hari-hari Tasyrik adalah hari perayaan kita sebagai umat Islam.
Ia hari untuk makan dan minum.” (Riwayat Abu Daud)
Antara kelebihan hari Arafah ialah umat Islam yang tidak
menunaikan ibadah haji disunatkan berpuasa. Nabi SAW bersabda: “Dengan berpuasa
pada hari Arafah aku berharap padanya supaya Allah ampunkan dosa-dosa tahun
yang lepas dan juga tahun akan datang.” (Riwayat Muslim)
Hari Arafah juga diterima setiap doa hamba-Nya yang memohon
permintaan dan keampunan. Malah doa dipinta kepada Allah SWT pada hari itu
adalah sebaik-baik doa dan semulia-mulia waktu untuk diperkenankan oleh-Nya.
Sabda Nabi SAW: “Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah.” (Riwayat Imam
al-Tirmizi).
Gunakanlah sebaik-baiknya sama ada bagi mereka yang
menunaikan haji mahupun tidak untuk berdoa menadah tangan kepada Allah SWT
dengan penuh rasa perhambaan kepada-Nya.
Hajjatul wada’
Pada hari Arafah juga berlakunya hajjatul wada’, Rasulullah
SAW menerima wahyu daripada Allah SWT menandakan lengkapnya risalah yang dibawa
Baginda kepada seluruh umatnya.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Pada hari ini Aku telah
lengkapkan bagi kamu agama kamu dan telah Aku cukupkan ke atas kamu nikmat-Ku
dan Aku reda Islam sebagai deen (agama) kamu.” (Surah al-Maidah, ayat 3)
Aidiladha yang diraikan pada 10 Zulhijjah pula hari
kebesaran dan kegembiraan bagi umat Islam. Pada hari itu umat Islam disunatkan
melakukan ibadah korban bermula sehingga hari tasyriq iaitu 11, 12 dan 13
Zulhijjah.
Ibadah korban syiar perhambaan kepada Allah SWT.
Malah ibadah korban membuka ruang amal kebajikan bagi mereka yang berkemampuan
dengan menyalurkan daging sembelihan kepada fakir miskin, anak yatim, jiran
tetangga, rakan taulan dan sanak saudara.
No comments:
Post a Comment